Wednesday 4 May 2011

Muqoddimah

Di dalam segala perbuatan,setiap perkataan,setiap langkah,setiap pandangan setiap pendengaran sehinggakan setiap perasaan yang terdetik di dalam hati semuanya tidak terlepas daripada pengetahuan Allah. Semua nikmat itu hakikatnya datang dari Allah SWT. Kita tidak akan mampu untuk mengelipkan mata jika itu bukan dari izin Allah. Kita tidak akan mampu untuk bernafas jika itu bukan dari izin Allah. Kita tidak akan terdaya melakukan apa pun jika tidak diizinkan Allah. Ya Allah,bertapa kerdilnya manusia. Segala sesuatu yang datang kepada kita,termasuklah nikmat keluarga,persahabatan dan lain-lain, semuanya datang dari Allah. Tetapi kita sering lalai yang nikmat ini diberi bukan datang secara suka-suka dan tanpa tujuan.

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (7:179)

Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.  
(76:2)

Oleh itu, nikmat yang ada pada kita sekarang ( membaca post ini ) sebenarnya juga salah satu ujian kepada kita. Dengan sebab itu untuk memastikan kebolehan pembaca digunakan yang dikurniakan Allah kepada kita digunakan sesuai dengan kehendak Allah, inshaallah penulisan di dalam blog ini bertujuan untuk mengajak kita semua untuk beriman sejenak. Perbuatan inilah juga yang disarankan Muadz Bin Jabal kepada para sahabat dengan berkata " Duduklah bersama kami,kita beriman sejenak".

Walaubagaimanapun penulisan di dalam blog ini bukanlah bermakna penulis merupakan sorang yang lebih tinggi ilmunya dan lebih tinggi imannya. Penulis juga merupakan seorang manusia yang  masih lagi bertatih mempelajari dan cuba mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dan sebagai manusia, iman bertambah dan berkurang. Tetapi hal ini tidak membuatkan penulis melupakan tanggungjawab untuk menyampaikan walaupun 1 ayat kepada pembaca.

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.
(2:159)

Moga-moga niat di hati dibulat tekad kepada Allah dan dijauhkan segala lintasan hati yang buruk.


بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

No comments:

Post a Comment